Chrome Pointer
Tuhanku... bintang2 telah menjelma, mata manusia terlena sudah, ketika semua pintu telah tertutup, tatkala unggas malam sahut-menyahut, dan inilah aku...inilah aku, duduk di hadapan-Mu, mengadu cintaku yg selalu terganggu... mengintai kasih di perdu rindu... ~••raBiatuL aDawiYah••~

Thursday, 11 October 2012

Allah Maha Merancang


Ana masih ingat satu kata - kata yang ana jumpa .. Kata - kata itu sedikit sebanyak menyedarkan ana. Kata - kata ditaip di atas kertas dan ditampal di sebuah kelas. Kertas itu agak buruk namun ana masih boleh membaca apa yang tertulis. Dan ternyata kata - kata itu menggetarkan jiwa ana.

Andai Allah cepat mengabulkan doamu, bermakna Dia menyayangimu
Andai Allah lambat mengabulkan doamu, bermakna Dia ingin mengujimu
Andai Allah tidak mengabulkan doamu, bermakna Dia tahu apa yang terbaik untukmu

Dahulu, ana selalu berfikir. Kenapa ana tidak bernasib baik. Seringkali kalah, seringkali gagal, seringkali tewas... Di mana ana berada, seringkali ana tewas... Tetapi sejak ana ternampak kata - kata tersebut, ana segera bermuhasabah diri.


Tewas dalam pembelajaran
Tewas dengan perasaan
Tewas dengan godaan
Tewas dalam persahabatan
Tewas dengan kasih sayang

Sehingga kadangkala ana fikir, buat apa ana hidup andai ana seringkali tewas. Buat apa ana masih bernyawa di bumi Allah SWT andai ana seringkali gagal... Kadang - kadang ana malu dengan insan di sekeliling ana. Malu kerana ana seorang yang gagal. Insan gagal tidak ada gunanya hidup. Ana jahil bukan?


Sejak ana terpandang kata - kata itu, ana mula fikir balik. Kebetulan perlawanan ana telah tamat dan ana mengambil masa untuk menyendiri. Ana fikir balik apa hikmah di sebalik semua yang Allah SWT
aturkan buat ana. Dari kecil, sehingga ana berdiri seperti sekarang. Satu persatu ana ingat balik dan fikirkan apa hikmah yang Allah anugerahkan buat ana.

Ana teringat tentang firman Allah dalam Surah Al-Ankabut ayat 2-3.

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.”

Ya. Ujian yang bertalu -talu adalah daripada Pencipta kepada hambaNya untuk melihat sejauh mana kita bergantung kepadaNya. Untuk melihat sejauh mana kita beriman kepadaNya. Untuk melihat sejauh mana kita percaya tentang kekuasaanNya. Saban hari bibir kita basah mengakui kita beriman kepadaNya dan ternyata, Allah SWT menguji bagi melihat sejauh mana kita melaksanakan bicara kita itu.

Kadang - kadang kita diuji kerana Allah SWT sedang memberi peringatan kepada kita...

Firman Allah dalam Surah Ar-Ruum ayat 41

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”

Ujian yang dianugerahkan oleh Allah SWT ini sebenarnya adalah balasan di atas segala dosa - dosa yang pernah kita lakukan. Kadang - kadang kita asyik dengan dunia yang penuh sandiwara ini sehinggakan kita lupa siapa pencipta kita. Kadang - kadang kita seronok dengan dunia yang sementara ini sehinggakan kita lupa bahawa kita semakin jauh dengan Pencipta. Ketahuilah bahawa dengan ujian, kita akan semakin dekat dengan Allah SWT. Fitrah manusia, andai berada dalam kesukaran, pasti akan bergantung harap kepada Allah SWT. Orang yang bukan Islam sekalipun, pasti akan kembali menyebut tuhan mereka di saat mengalami kesukaran.



Ketahuilah bahawa Allah SWT Maha Mengetahui
Percaya atau tidak, cepat atau lambat doa kita dimakbulkan, itu semua aturan daripada Pencipta kerana Dia tahu apa yang terbaik untuk hambaNya.

Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 214.

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah).”

Kadangkala kita tewas dan kalah di saat menghadapi sesuatu ujian. Sudah tidak sanggup lagi berdepan dengan hari esok. Tidak sanggup lagi berhadapan dengan ujian itu kerana pasti andai satu ujian datang, pasti akan datang lagi ujian.

"Aku sudah tak sanggup"
"Aku sudah tidak mampu"
"Aku letih"
"Aku penat"

Allah berfirman dalam Surah Al Baqarah ayat 286 bagi membantu menjawab segala persoalan hambaNya

"Dan Allah tidak akan membebani sesuatu kaum itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya"

Ketahuilah, bahawa dunia adalah pentas ujian. Kita adalah pelakon. Malaikat umpama jurukamera.
Allah umpama jurinya dan akhirat sana adalah pentas sebenar. Pentas penuh berprestij yang menentukan sama ada syurga atau neraka.

Andai kita rasa kalah dengan ujian yang mendatang ingatlah bahawa ada lagi yang kekal teruji sehingga akhir hayat.

Sumayyah bersama keluarga tercinta diseksa sehingga akhir hayatnya.Seperti Nabi Yahya yang dipenggal kepalanya, seperti Nabi Zakaria yang dibelah tubuhnya, seperti tuk guru kepada remaja dalam cerita Ashabul Ukhdud yang di kerat dua dari kepalanya, seperti Khubaib ibn ‘Adi RA yang mati dilapah-lapah Abu Jahal jasadnya, seperti Mus’ab bin Umair RA yang mati kudung kedua belah tangannya, seperti Anas bin Nadhr RA yang mati dengan 80 tusukan pada jasadnya hingga wajahnya tidak dikenali sesiapa kecuali adiknya yang mampu mengenalinya dari cincin di jarinya, seperti Hamzah RA yang mati dimamah jantungnya, dan seperti ramai lagi manusia yang telah berlalu di zaman ini(Asy-Syahid Hassan Al-Banna, Asy-Syahid Syed Qutb) dan juga zaman terdahulu yang mati sebelum menikmati kesenangan hidup.

Apakah Allah sengaja mahu menghukum mereka? Apakah Allah membenci mereka sehingga tegar membiarkan mereka diuji sehingga akhir nafas?
Tidak. Allah tidak membenci mereka. Malah Allah sangat menyayangi mereka. Buktinya??.. Dengan syurgaNya.

Firman Allah dalam Surah As-Saff ayat 11-12.
“Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa - dosa kamu, dan masukkan kamu ke dalam taman - taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat - tempat tinggal yang baik dalam Syurga 'Adn. Itulah kemenangan yang besar."


Dan sekarang ana sedar,di sebalik segala apa yang berlaku punya hikmah dan rahsia tersendiri. Dan hanya kita sahaja sama ada sedar atau tidak. Dan ternyata ujian - ujian yang menimpa ana mematangkan diri ana. Syukur ya Rabb.


No comments:

Post a Comment